irritation only
blog ini dihasilkan daripada individu, bukan individu, masyarakat umum yang berusaha keras untuk memberi ilham kepada masyarakat. sebagai tanda betapa mereka peduli akan kehidupan masa kini dan akan datang
Selasa, 2 November 2010
Orang Ikhlas Tertindas?
Ramai yang mengeluh, bukan kecewa, tetapi sekadar meluahkan rasa... betapa kebaikan dipersia. Isteri yang setia, dipersiakan suami. Suami yang baik, ditinggalkan isteri. Ibu-bapa yang dipinggirkan anak-anak...
Inilah warna kehidupan yang kita perlu hadapi. Langit tidak selalu cerah. Hidup tidak sentiasa indah. Dipergilirkan antara senang dan susah, agar di hati kita ada sabar dan syukur. Umpama malam dan siang, barulah tercipta keharmonian, keseimbangan...
Lalu saya tulis satu kisah lama... sekadar untuk mengingatkan diri dan pembaca. Satu tulisan untuk membujuk hati sendiri atas satu pertanyaan, orang ikhlas tertindas?
Atau soalan yang lebih 'dalam' dan sukar daripada itu... benar-benarkah kita orang yang ikhlas jika masih merasa tertindas ketika cuba mengikhlaskan hati kita ketika melalukan kebaikan kepada seseorang atau sesuatu pihak?
Ah, ikhlas itu memang rahsia. Rahsia dalam rahsia Allah. Ya Allah, bantulah kami untuk ikhlas...Amin.
Untuk diriku dan dirimu, terimalah tulisan ini sebagai hadiah muhasabah...
Orang Ikhlas Tertindas?
Jika kita memberi kebaikan kepada seseorang, kebaikan itu akan dibalas walaupun yang membalasnya bukan orang yang kita berikan kebaikan itu. Hakikat ini mengingatkan saya kepada satu perbualan yang berlaku sewaktu saya mengendalikan program latihan beberapa tahun lalu di sebuah organisasi.
"Saya tidak mempunyai apa-apa harapan lagi pada organisasi ini," kata seorang kakak berterus-terang.
"Mengapa?" balas saya.
"Organisasi ini dipenuhi oleh kaki bodek dan kaki ampu. Saya terseksa bekerja secara ikhlas di sini. Tidak pernah dihargai, tidak ada ganjaran yang wajar. Saya bukannya orang yang bermuka-muka. Tak pandai saya nak ampu-ampu orang atas. Fokus saya kepada kerja sahaja."
Kakak itu sebenarnya adalah peserta program yang paling senior. Telah berpuluh tahun bekerja dalam organisasi tersebut. Itu adalah kali terakhir dia mengikuti program latihan. Enam bulan lagi dia akan bersara. Kesempatan yang diberikan kepadanya dalam sesi memperkenalkan diri itu telah digunakannya sepenuhnya untuk meluahkan rasa kecewa dan marahnya sepanjang berkhidmat di situ. Sungguh, dia kecewa sekali. Siapa tidak marah, jika bekerja secara ikhlas dan gigih tetapi tidak pernah dinaikkan pangkat atau mendapat kenaikan gaji?
Sewaktu rehat, sambil minum-minum dan berbual santai saya bertanya kepadanya, "kakak punya berapa orang anak?"
Sengaja saya bertanya soal-soal "di luar kotak" agar ketegangan dalam sesi sebelumnya dapat diredakan.
"Oh ramai encik..."
"Bagaimana dengan anak-anak kakak?"
Wah, saya lihat dia begitu ceria apabila mula menceritakan tentang anak-anaknya. Boleh dikatakan semua anak-anaknya berjaya dalam profesion masing-masing. Ada yang menjadi doktor, jurutera, pensyarah dan sebagainya. Malah seorang anaknya telah menjadi hafiz.
"Kakak, boleh saya bertanya?"
"Tanyalah encik..." ujar kakak itu sambil tersenyum. Mendung di wajahnya sudah berlalu. Dia begitu teruja bila bercerita tentang anak-anaknya. Memang, semua anak-anaknya menjadi.
"Jika kakak diberi pilihan, antara anak-anak yang "menjadi" dengan naik gaji, mana yang kakak pilih?"
Belum sempat dia menjawab, saya bertanya lagi, "antara kakak naik pangkat dengan anak-anak berjaya dalam karier mereka, mana yang kakak pilih?"
Dengan cepat kakak itu menjawab, "hati ibu encik... tentulah saya pilih anak-anak saya menjadi walaupun tidak naik gaji atau dapat pangkat. Anak-anak adalah harta kita yang paling berharga!"
Saya tersenyum. Hati ibu, begitulah semestinya.
"Kakak, sebenarnya keikhlasan dan kegigihan kakak bekerja dalam organisasi ini telah mendapat ganjaran..." kata saya perlahan. Hampir berbisik.
"Maksud encik?"
"Allah telah membalas dengan ganjaran yang lebih baik dan lebih kakak sukai. Bila kakak ikhlas bekerja dalam organisasi ini, Allah berikan kepada kakak anak-anak yang menjadi."
"Tidak pernah saya terfikir begitu encik..."
"Allah Maha Berkuasa. Ada kalanya takdir dan perbuatan-Nya terlalu misteri dan rahsia untuk dijangkau oleh pemikiran kita. Tetapi yakinlah what you give, you get back. Itu hukum sunatullah dalam hubungan sesama manusia. Kebaikan yang kita buat akan kembali kepada kita. Yakinlah."
"Walaupun bukan daripada seseorang atau sesuatu pihak yang kita berikan kebaikan itu?"
"Maksud kakak?"
"Macam ni, saya buat kebaikan kepada organisasi tempat saya bekerja, tapi Allah berikan kebaikan kepada keluarga. Pembalasan Allah bukan di tempat saya bekerja, sebaliknya diberikan dalam keluarga saya. Begitukah encik?"
"Itulah yang saya katakan tadi, takdir Allah kekadang terlalu misteri. Tetapi ketetapannya mutlak dan muktamad, siapa yang memberi kebaikan akan dibalas dengan kebaikan. Dalam istilah biasa itu dipanggil golden rule!"
Kakak itu termenung. Mungkin memikirkan pertalian dan kaitan antara apa yang berlaku dalam organisasi dengan familinya.
"Metafora atau analoginya begini. Katalah kita sedang memandu di satu jalan yang mempunyai dua atau tiga lorong. Penuh sesak. Tiba-tiba sebuah kereta yang tersalah lorong di sebelah memberi isyarat untuk masuk ke lorong kita. Kerana simpati melihat dia terkial-kial memberi isyarat, kita pun beralah, lalu memberi laluan untuk kereta itu masuk di hadapan kita..."
Saya berhenti seketika mengambil nafas sambil mencari reaksi. Saya lihat kakak itu mendengar penuh minat. Dia meneliti metafora yang saya sampaikan dengan begitu teliti.
"Kemudian kita terus memandu ke hadapan. Mungkin sejam kemudian atau setelah berpuluh-puluh kilometer, tiba-tiba kita pula yang tersalah lorong. Kita pula yang memberi lampu isyarat untuk masuk ke lorong sebelah. Soalnya logikkah kalau kita mengharapkan kereta yang kita bantu sebelumnya memberi laluan untuk kita?"
Kakak itu tersenyum dan berkata, "tak logik encik. Kereta yang kita bantu tadi entah ke mana perginya."
"Tapi ada tak kereta lain yang simpati dan memberi laluan untuk kita?'
"Pasti ada! InsyaAllah."
"Ya, begitulah. Padahal kereta itu tidak pernah sekali pun kita tolong. Tetapi Allahlah yang menggerakkan hati pemandunya untuk memberi laluan kepada kita. Orang yang kita beri kebaikan, tidak ada di situ untuk membalas kebaikan kita... Tetapi Allah menggerakkan hati orang lain, yang tidak pernah merasa kebaikan kita untuk membalas kebaikan kita tadi."
"Subhanallah!"
"Begitu dalam litar di jalan raya dan begitu jualah litar dalam kehidupan manusia. Kita buat baik kepada A, tetapi kerap kali bukan A yang membalas kebaikan kita tetapi B atau C atau D atau lain-lainnya yang membalasnya. Inilah hakikat yang berlaku dalam kehidupan ini."
"Kita tidak boleh kecewa bila keikhlasan kita dipersiakan?" tanya kakak itu lagi. Lebih kepada satu respons minta diiyakan.
"Kakak, ikhlas sebenar tidak pinta dibalas. Tetapi Allah Maha Kaya dan Maha Pengasih, siapa yang ikhlas akan diberi ganjaran walaupun mereka tidak memintanya kerana setiap kebaikan itu akan dikembalikan kepada orang yang melakukannya. Ia umpama bola yang dibaling ke dinding, akan melantun semula kepada pembalingnya!"
"Selalunya saya dengar, orang ikhlas akan dibalas di akhirat."
"Itulah balasan yang lebih baik dan kekal. Tetapi saya katakan tadi, Allah Maha kaya, Allah mahu dan mampu membalas keikhlasan hamba-Nya di dunia lagi."
"Maksud encik?"
"Orang yang ikhlas akan diberi ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup. Anak-anak yang soleh dan solehah. Isteri yang taat atau suami yang setia. Dan paling penting... hati yang sejahtera. Inilah kekayaan dan kelebihan yang lebih utama daripada pangkat, gaji dan jawatan."
"Jadi orang ikhlas akan terus ditindas, tidak dapat kenaikan pangkat atau gaji? Bukan apa, saya terfikir kenapa nasib kaki ampu dan kaki bodek lebih baik dalam organisasi. Mereka dapat naik pangkat!"
Giliran saya pula tersenyum.
"Tidak ada kebaikan yang akan kita dapat melalui jalan yang salah. Percayalah, kalau benar mereka kaki ampu dan bodek sahaja... pangkat yang mereka dapat akan menyebabkan mereka melarat. Gaji naik, tetapi ketenangan hati menurun. Ingat apa yang saya kata tadi, what you give you get back... Golden rule itu bukan untuk kebaikan sahaja, tetapi untuk kejahatan juga. Kalau kita berikan kejahatan, kejahatan itu akan kembali semula kepada kita. Kaki ampu, mungkin akan dapat anak yang pandai bermuka-muka. Kaki bodek mungkin dibalas dengan isteri yang berpura-pura!" terang saya panjang lebar.
"Jadi apa yang harus saya lakukan dengan baki masa perkhidmatan yang tinggal tidak beberapa bulan lagi ni?"
"Bekerjalah dengan gigih. Walaupun mungkin bos tidak melihatnya, tetapi Allah Maha Melihat. Bekerja itu satu ibadah. God is our "CEO", kata orang sekarang. Insya-Allah, satu hari nanti manusia juga akan diperlihatkan oleh Allah tentang keikhlasan manusia yang lain. Jangan berhenti memberi kebaikan hanya kerana tidak dapat penghargaan..."
"Maksud encik?"
"Jangan mengharap terima kasih daripada manusia atas kebaikan yang kita buat kepadanya."
"Kenapa?"
"Kita akan sakit jiwa!"
"Kenapa?"
"Kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Lihatlah, kalau kepada Allah yang Maha Memberi pun manusia tidak pandai bersyukur dan berterima kasih, apalagi kepada manusia yang pemberiannya terbatas dan berkala. Sedikit sekali daripada manusia yang bersyukur," balas saya mengulangi apa yang maktub dalam Al Quran.
"Tetapi Allah tidak berhenti memberi... " kata kakak itu perlahan.
"Walaupun manusia tidak berterima kasih kepada-Nya. Sekalipun kepada yang derhaka dan kafir, tetapi Allah terus memberi... Justeru siapa kita yang tergamak berhenti memberi hanya kerana tidak mendapat penghargaan dan ucapan terima kasih?"
"Ah, kita terlalu ego..."
Dan itulah kesimpulan perbualan yang saya kira sangat bermakna dan besar impaknya dalam hidup saya. Saya terasa "diperingatkan" semasa memberi peringatan kerana pada hakikatnya saya juga tidak terlepas daripada lintasan hati oleh satu pertanyaan... orang ikhlas tertindas?
dipetik : http://www.iluvislam.com/tazkirah/nasihat/1070-orang-ikhlas-tertindas.html
Bangsal Lama
Selasa, 12 Januari 2010
tulisan, penulis dan penulisan
Berkenaan tulisan, penulis dan penulisan adalah aspek yang berbeza walaupun dari segi sebutan hampir berdekatan. Tulisan adalah suatu yang boleh memberi kesan apabila seseorang membaca atau sekurang-kurangnya sesorang itu mendapat ilmu hasil daripada pembacaan tulisan itu. Tidak semua tulisan itu boleh dibaca, tetapi perlu didalami dan dipelajari.
Penulis pula adalah orang yang menulis tulisan tersebut. Berdasarkan teks atau kefahamannya sendiri dalam menghasilkan tulisan itu.. Penulis boleh melahirkan pelbagai emosi dan perasaan terutama dalam pembacaan novel, blog, puisi, cerpen dan sebagainya. Penulis mempunyai hak untuk menulis dan meluahkan perasaannya bagi yang tidak formal. sekiranya menghasilkan buku teks atau jurnal, penulis akan bersikap formal dan mengeluarkan teks tertentu bagi meningkatkan kefahaman pembaca dan memberi pengetahuan.
Penulisan adalah hasil gabungan daripada tulisan dan penulis. Penulisan ini telah menghasilkan pelbagai rasa dan perasaan yang tidak dapat difahami oleh orang lain melainkan diri penulis sendiri. Penulisan yang dihasilkan secara ilmiah boleh dibaca, difahami dan didalami oleh pembaca. Penulisan itu ibarat lidah yang dapat menembusi hati nurani orang lain. Penulisan juga boleh mengubah pendapat atau pemikiran orang lain. Terlalu sukar untuk mencari penulisan yang benar-benar memberi ilmu dan apabila kita membaca penulisan itu mendapat manfaat daripadanya. kebanyakan penulis masa kini lebih gemar bercerita tentang gossip, hiburan, mengadu domba, lucah dan lagha. Penulisan begini akhirnya akan merosakkan bangsa dan generasi yang membangun. Tambahan pula masa kini, pembaca kurang gemar untuk membaca.
Akhirnya, tulisan, penulis dan penulisan adalah sangat berkait rapat antara satu sama lain. Semoga dengan terhasilnya penulisan yang bermutu akan dapat meningkatkan kreativiti dan minat generasi muda untuk membaca dan menambah ilmu dengan membaca. Oleh itu, penulisan itu seharusnya menggunakan bahasa yang baik dan sentiasa baru dan segar.
Bangsal Lama
Jumaat, 25 September 2009
Politik wang: Kesan ke atas akidah
Gelaran ini tidak hanya diakui oleh umat baginda, bahkan seluruh masyarakat Arab waktu itu turut menyanjungi kejujuran baginda. Inilah buktinya bahawa kepimpinan hari ini adalah berwibawa jika ada kejujuran dan ketegasan terhadap perkara kebenaran. Dalam konteks negara kita, usaha kerajaan untuk membasmi gejala rasuah, politik wang, penyelewengan dan salah guna kuasa merupakan manifestasi daripada intipati sifat al-Amin dalam konteks kepimpinan yang diredai Allah s.w.t.
Justeru itu, dalam konteks dasar kerajaan memerangi gejala rasuah tersebut adalah bertepatan dengan kaedah dan ajaran yang disarankan oleh Rasulullah s.a.w. Umat Islam harus diciptakan menjadi umat yang mempunyai semangat jihad untuk melawan apa jua bentuk rasuah.
Pengajaran penting daripada tindakan yang diambil oleh kerajaan ke atas isu-isu yang berkaitan dengan politik wang adalah untuk melahirkan semangat jihad memerangi rasuah. Dan yang terpenting, orang yang memimpin itu adalah orang yang dipercayai dan jujur. Justeru itu tindakan yang diambil oleh Lembaga Disiplin UMNO terhadap mereka yang didapati bersalah mengamalkan politik wang adalah bukti ketegasan parti tersebut dalam menangani masalah rasuah di kalangan ahli politik.
Persoalannya, mengapa sesetengah anggota masyarakat kita berkecenderungan untuk melakukan rasuah? Jawapannya, sudah tentu kerana tidak ada kejujuran, iaitu tidak berani untuk melihat kelemahan diri sendiri serta kekayaan yang dimiliki. Golongan ini sebenarnya takut kepada bayang-bayang sendiri walhal ketakutan itu berpunca daripada dalam dirinya.
Perlu diingat bahawa orang yang memberi rasuah juga berdosa dan yang mengambil atau menerimanya juga berdosa. Bagaimana seandainya tidak ada orang yang memberi walaupun dipinta, maka sudah tentu rasuah tidak akan berlaku. Begitu juga seandainya tidak ada orang yang meminta, maka sudah pasti orang yang memberi rasuah juga tidak akan wujud. Inilah penyakit yang sukar diubati dan dihidapi oleh sesetengah pemimpin Melayu-Islam hari ini.
Permasalahan politik wang seakan-akan satu permasalahan yang tidak berkesudahan. Sebagai seorang Muslim yang meyakini akan adanya hari pembalasan dalam kehidupannya, tentunya tidak menganggap permasalahan ini sebagai perkara biasa sahaja. Malah kesan daripada perbuatan rasuah ini akan mengikis akidah keimanan seseorang itu. Golongan ini terlalu meyakini bahawa wang adalah segala-galanya – dengan wang mereka boleh menperoleh kuasa. Mereka seumpama Firaun yang tidak menpercayai Allah s.w.t kerana bagi mereka harta dan kekayaan itulah kekuasaan. Percayalah bahawa kepimpinan atau kekuasaan yang diperoleh secara haram itu tidak akan kekal lama kerana ianya tidak diredai Allah s.w.t.
Dalam hal ini, terdapat hadis sahih daripada Nabi s.a.w, bahawasanya baginda (yang bermaksud) “melaknat perasuah dan orang yang dirasuah.” (Riwayat Abu Daud)
Sememangnya rasuah itu adalah salah satu daripada dosa besar, manakala rasuah yang paling keji dan besar dosanya ialah rasuah yang berkaitan dengan hukum atau undang-undang kerana yang menetapkan hukum itu hanya Allah s.w.t, dan manusia sebagai pelaksana sahaja. Melakukan penyelewengan dalam hukum bererti melanggar perintah Allah s.w.t.
Hal ini dapat dijelaskan sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Rasuah dalam urusan yang berkaitan dengan hukum adalah kufur.” (Riwayat at-Tarmizi)
Untuk menggambarkan perlakuan itu adalah perbuatan tercela dan berdosa besar, Nabi Muhammad s.a.w membuat perbandingan dengan salah satu daripada bentuk riba yang boleh menyebabkan seseorang itu dihumban ke dalam neraka. Pengamal atau penerima rasuah, pemberi dan sesiapa sahaja yang terlibat dengan gejala tersebut dikira sama sahaja sebagaimana juga pemakan riba dan pemberi, saksi dan orang yang menguruskannya sebagaimana sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: “Rasulullah melaknat pemakan riba, pemberinya, orang yang menguruskannya dan saksinya, mereka itu adalah sama.” (Riwayat Muslim)
Seseorang yang menginginkan seuatu jawatan atau kedudukan terhormat dalam pemerintahan, ditakuti kemungkinan besar akan mengorbankan agamanya demi mencapai keinginannya itu. Dia rela melakukan apa sahaja meskipun perbuatan maksiat demi untuk mendapatkannya atau mempertahankan kedudukan yang telah diraih.
Rasulullah s.a.w juga pernah menolak permintaan salah seorang sahabat yang datang meminta agar diberi jawatan dalam pemerintahan. Lantas baginda bersabda yang bermaksud: “Kami tidak akan memberikan jawatan dalam pemerintahan ini kepada orang yang memintanya dan bercita-cita untuk mendapatnya.”
Alasan penolakan ini kerana setiap orang yang bercita-cita tinggi ini sudah tentu berani untuk melakukan apa sahaja demi mendapatkan jawatan tersebut. Ini juga adalah kerana perkara ini dapat menghalangi taufik Allah s.w.t dalam memenuhi tanggungjawabnya. Mereka terlalu berani dan tidak takut kepada undang-undang dan sanggup menghabiskan wang yang banyak demi untuk mendapat dan menpertahankan jawatan itu. Namun apabila jawatan dalam pemerintahan itu diberikan kepada orang yang tidak menginginkannya atau tidak menyukainya, maka Allah s.w.t akan memberinya taufik dan akan menbantunya dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut.
Penyerahan kuasa atau perlantikan seseorang pemimpin yang tidak benar-benar layak sudah pastinya tidak dapat melaksanakan tugas dengan baik dan sepatutnya. Dalam konteks ini, ia memiliki ‘peluang dan ruang’ untuk melakukan pengkhianatan atau penyelewengan. Pengkhianatan dan penyelewengan itu bukan sahaja dari kalangan pemimpin itu, bahkan orang yang terlibat sama dalam proses perlantikan dan pemilihan juga dikira sebagai pengkhianat kerana mereka sudah tahu orang yang mereka akan lantik tidak boleh melaksanakan tugas. Apatah lagi kalau pemilihan tersebut atas dasar sentimen kepuakan atau kekayaan semata-mata, bukan atas dasar kelayakan dan pemilihan yang tepat.
Ingatlah pesan Rasulullah s.a.w dalam satu hadis baginda yang bermaksd: “Manusia apabila melihat kemungkaran, tidak merubahnya, maka dipastikan hampir sahaja Allah menimpakan seksaan-Nya secara menyeluruh.” (Riwayat Ahmad)
Belajar daripada pengalaman orang lain
Keadaan umat Iraq juga sama, dan demikian juga halnya dengan umat di Afghanistan, mereka semuanya dimasukkan ke dalam golongan pengganas, dan perlu diperangi habis-habisan. Presiden Bush baru sahaja mengumumkan bahawa ribuan askarnya yang sekarang menduduki Iraq akan dipindahkan ke Afghanistan untuk memerangi ancaman “pengganas” yang kelihatan semakin berleluasa akhir-akhir ini. Tindakan itu perlu dilakukan katanya “untuk menyelamatkan anak cucu kita daripada pengganas dunia itu”.
Kadang-kadang tindakan pribumi sesebuah negara yang tertindas, dan telah lama teraniaya, untuk memperjuangkan hak mereka sering dilihat sebagai tindakan ganas dan mengancam keselamatan orang lain. Tindakan rakyat Palestin dalam memperjuangkan hak mereka umpamanya, terutamanya ketika mereka bertindak ganas sebagai reaksi terhadap kekerasan yang dilakukan kepada mereka, sering dianggap sebagai tindakan ganas yang tidak mengikut lunas-lunas demokrasi dan peri kemanusiaan.
Ertinya, mereka yang bertindak untuk melepaskan diri dari penginayaan sering pula dilabelkan sebagai golongan pelampau, sedangkan tindakan pihak kerajaan Israel yang bertindak ganas terhadap mereka mendapat pembelaan sebagai satu kuasa yang bertujuan menegakkan keamanan dan demokrasi di sana.
Perkembangan politik di negara kita akhir-akhir ini yang mengalami perubahan radikal secara mendadak menampakkan satu aliran yang keseluruhannya meletakkan kesalahan terhadap institusi-institusi yang terlibat dengan hak dan keistimewaan orang Melayu dan umat Islam.
Hak istimewa orang Melayu dan isu-isu yang berkaitan dengan kontrak sosial, dasar ekonomi baru, dasar pendidikan, malah isu-isu agama Islam juga sering dibangkitkan oleh banyak kalangan yang menampakkan dasar perkauman yang jelas berbanding dengan keadaan politik dan sosial negara kita beberapa dekad yang lalu.
Akibat daripada keadaan ini, maka kempen secara meluas dan menyeluruh oleh pertubuhan bukan Kerajaan dan politik di tanah air kita telah dijalankan serentak sehingga rakyat majoriti terpengaruh dengan kempen tersebut, dan dengan itu maka segala tentangan terhadap hak istimewa orang Melayu, dan segala institusi yang dikaitkan dengan orang Melayu dan Islam mulai dikritik begitu rupa sehingga keadaan kelihatan amat tidak terkawal, terutamanya yang menyentuh sensitiviti orang Melayu dan Islam sendiri.
Perubahan arah pemikiran dan persepsi rakyat ini telah dieksploitasikan oleh berbagai-bagai pihak, terutamanya oleh ahli politik yang mencari keuntungan peribadi, para rasist yang sekian lama memperjuangkan kaum dan budayanya, dan kalangan yang sekian lama memperjuangkan ideologi politik sempit mereka untuk dipaksakan menjadi dasar pemerentahan yang selama ini tidak diterima oleh rakyat umum.
Alasan mereka kelihatan agak menyakinkan, iaitu kerana kepincangan yang mereka andaikan itulah yang kononnya menyebabkan rakyat majoriti tidak memilih parti BN di dalam pilihan raya yang lalu, yang selama ini menguasai negara dengan majoriti kerusi yang banyak, sedangkan faktor-faktor lain tidak mereka ketengahkan sama sekali, malah kalau boleh haruslah dipendamkan supaya tidak timbul barang sedikit pun.
Sebenarnya, kekalahan di dalam pilihan raya tidaklah boleh diterjemahkan secara yang amat simplistik begitu. Saya rasa keputusan pilihan raya yang berdasarkan persepsi, terutamanya persepsi palsu yang diheboh-hebohkan sekian lama sebelum menjelangnya pilihan raya lagi, sehingga mempengaruhi orang awam, tidaklah dapat dijadikan ukuran bahawa orang atau parti yang memenangi pilihana raya itu adalah merupakan orang atau parti yang paling baik.
Rasulullah s.a.w ketika mulai diutuskan oleh Allah s.w.t untuk memimpin manusia ke jalan yang benar itu pun telah dianggap sebagai ahli sihir dan penyair oleh para musuhnya dan kalangan pihak tradisionalis yang mahu mempertahankan adat dan tradisi lama mereka. Sekiranya kita mengandaikan pada ketika itu diadakan pilihan raya untuk memilih pemimpin tertinggi di dalam masyarakat itu, mungkin mereka sebagai pengundi fanatik melulu tidak akan memilih Nabi Muhammad sebagai pemimpin mereka.
Sebab itulah juga ketika proses pemilihan khalifah Islam selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w, maka pemilihan itu tidak dilakukan secara undi yang terbuka kepada umum, malahan satu lembaga pemilih yang terdiri daripada kalangan para bijak pandai saja yang membuat pilihan.
Oleh itu, persepsi rakyat umum tidaklah seharusnya menjadi ukuran mutlak sehingga dengan itu kita dapat terus membuat kesimpulan begitu dan begini, terutamanya sekiranya hal itu ditafsirkan secara melulu mengikut kepentingan yang tertentu, oleh pihak-pihak yang tertentu.
Malah di dalam pilihana raya yang lalu, pengundi masih menaruh kepercayaan kepada calon-calon UMNO yang selama ini dianggap sebagai parti yang moderat, jadi kenapa pula segala kesalahan harus dibebankan kepada orang Melayu, terutamanya jika dilihat kepada perangkaan orang Melayu yang menjadi anggota parti politik maka bukan semua orang Melayu berada di dalam satu parti politik yang tertentu. Banyak lagi orang Melayu yang tidak pun menjadi anggota mana-mana parti politik.
Oleh itu, percubaan untuk mengubah persepsi umum tentang dasar negara mengenai hak istimewa orang Melayu, dasar ekonomi baru dan isu-isu agama yang dianggap tidak demokratik, dan harus dibangkitkan secara telus dan terus terang tanpa menghiraukan sensitiviti kaum dan agama lagi, telah mengakibatkan ahli politik Melayu sendiri melatah, dan mengeluarkan reaksi spontan tentang dasar undang-undang, biasiswa, ekonomi dan sebagainya, seolah-olah kempen reverse psychology yang dilancarkan dengan hebat itu, benar-benar menjadi perangkap yang memerangkap ahli politik Melayu sendiri.
Oleh itu, tidak hairanlah dalam keadaan ini akan timbul satu dua kambing hitam yang memberi reaksi penuh emosi terhadap perkembangan terakhir yang dianggap melampaui batas-batas keharmonian kaum dan agama yang menyebabkan mereka bertindak liar sebagai reaksi terhadap apa yang dianggapnya sebagai tindakan melampau dari orang lain untuk merampas haknya.
Hal inilah yang timbul ketika Bar Council menganjurkan forum tentang isu agama baru-baru ini ketika seorang ahli PKR yang bertindak menentangnya dianggap sebagai tidak mematuhi disiplin parti sedangkan ia bertindak atas sifatnya seorang Muslim, dan suara emosional yang timbul dari pemimpin UMNO Bukit Bendera mengenai pendatang ke negara Malaysia ini yang mendapat sokongan semua Bahagian UMNO Pulau Pinang. Orang-orang yang merasa bahawa kaum dan agamanya tercabar dengan begitu hebat akan bertindak dengan keras, walaupun tindakan itu sebenarnya agak keterlaluan pada pandangan umum.
Sebab itulah d iatas telah saya tegaskan bahawa aksi dan reaksi haruslah diberikan pertimbangan yang sewajarnya sebelum daripada menghukum mana-mana pihak yang terlibat, kerana kita tidak mahu menjadi seperti kes rakyat Palestin yang teraniya dan tertindas, yang akhirnya mereka pula yang dianggap bersalah dan patut dihukum, sedangkan pihak lain yang lebeh kejam lagi dijulang sebagai wira.
Oleh itu, kita rakyat Malaysia, dari sebarang kaum dan keturunan, haruslah segera kembali kepada dasar dan sejarah penubuhan dan pembangunan negara kita yang selama ini menjadi contoh terbaik kepada dunia sebagai negara yang stabil dan aman damai. Keutuhan kepimpinan negara kita selama ini telah dapat mengawal dan mengarahkan negara ini dengan baik, oleh itu kita tidak mahu rakyat di negara ini menjadi seperti anak ayam kehilangan ibu.
Oleh DATO’ DR ISMAIL IBRAHIM
Hipokrasi Barat terhadap Iran
Mereka mengecam Iran kerana sistem pilihan rayanya dianggap tidak telus dan dimanipulasi ulama. Tetapi ketika Iran menjadi sekutu Amerika Syarikat di bawah Shah Reza Pahlavi yang tidak pernah mengadakan pilihan raya, Washington tidak mengkritik atau mendesak Teheran supaya mengamalkan demokrasi.
Apa yang dipedulikan Washington adalah sukap Iran yang menjadi sekutunya menentang Moscow, pembekal minyak kepadanya yang setia dan mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel. Akhirnya yang memperkenalkan suatu sistem demokrasi berpilihan raya ialah Ayatullah Khomeini sendiri yang secara bijak membolehkan penubuhan sebuah negara Islam menurut fahaman Syiah tetapi pada waktu sama mempunyai amalan demokrasi berpilihan raya.
Republik Islam Iran adalah sebuah eksperimen yang setakat ini boleh dianggap berjaya menghasilkan sebuah negara di mana hasil daripada Revolusi Islam, lahir sebuah perlembagaan dengan sistem pemerintahan yang merangkumi hak ulama ke atas kepimpinan di samping hak rakyat umum untuk menyertai dalam pentadbiran kerajaan.
Maka pada awal penubuhan Republikk Islam Iran, sememangnya terdapat fahaman keperluannya parti politik. Maka mereka yang mendokong republik ini menubuhkan Parti Republik Islam yang muncul bersama pelbagai parti politik lain. Antara pengasas parti ini ialah Mir Hoessein Mousavi yang menjadi calon bertanding dalam pilihan raya presiden baru-baru ini.
Tetapi kemudian, Khomeini mendapati bahawa sistem politik kepartian menimbulkan kesan-kesan negatif dari segi ia menimbulkan kumpulan-kumpulan yang boleh memecah-bekahgkan masyarakat. Maka Khomeini mengisytiharkan parti-parti politik tetapi kumpulan-kumpulan berotrganiasi dibenarkan bagi menyokong mana-mana calon dalam parti.
Dalam apa jua sistem pemerintahan, termasuk yang berbentuk demokrasi berpilihan raya, calon-calon yang bertanding adalah mereka yang mendokong perlembagaan dan bentuk negara masing-masing. Begitu juga di Amerika Syarikat. Andainya seseorang calon presiden menantang perlembagaan Amerika, adakah beliau dibenarkan bertanding? Tentunya tidak. Ini kerana mana-mana perlembagaan diolah sebegitu rupa supaya bentuk negara itu tidak dicabar.
Walau terhadap Amerika, pemerhati luar akan sedar bahawa hanya salah satu daripada dua calon, iaitu dari Parti Republikan dan Parti Demokratik akan menang, dengan kedua-duanya meletakkan Israel sebagai sekutu muktamad yang tidak boleh digugat pinda sebagai suatu sistem yang mengongkong tetapi tidaklah meuar-uarkan bahawa ia adalah pemerintahan yang tidak demokratik.
Sebaliknya, Amerika akan berusaha untuk memaksa nilai-nilai demokrasinya diterima pakai oleh negara-negara lain. Maksud Amerika di sini bukannya kerajaan semata-mata tetapi rakyat negara itu seara umumnya baik diungkapkan melalui media massa atau agensi-agensi pemikir.
Justeru, adalah tidak menghairankan betapa Mousavi mencabar Mahmoud Ahmedinejad, maka sokongan pihak Barat adalah jelas. Mereka menyokong Mousavi yang digambarkan begitu rupa seolah-olah beliau adalah seorang reformis dan pro-demokrasi, sementara Ahmedinejad adalah konservatif, radikal dan lebih pentingnya anti-Amerika.
Kebencian mereka terhadap Ahmedinejad adaalh jelas kerana pertamanya presiden Iran itu menafikan Holocaust, suatu yang pantang besar bagi pihak Barat. Sudah tentu golongan Yahudi dan pro-Yahudi berasa jijik terhadap Ahmedinejad yang berpegang kepada fahaman itu. Sikapnya yang dilihat sebagai anti-Israel dan anti-Amerika serta usahanya untuk membangunkan senjata nuklear dengan sendirinya Barat menentangnya. Maka cara terbaik ialah dengan memberi sokongan kepada Mousavi.
Tetapi di bawah penentangan mereka ke atas Ahmedinejad adalah harapan mereka supaya Republik Islam Iran tumbang untuk digantikan dengan sistem politik demokrasi ala Barat di mana tentunya tidak ada ulama untuk memandu negara itu, tetapi lebih daripada itu ialah Iran hendak dijadikan sekutu Washington yang berbaik dengan Israel.
Sedangkan apa yang berlaku di Iran ialah pemilihan personaliti yang mempunyai pendekatan berbeza terhadap pentadbiran tetapi tidaklah sampai kepada mengubah Republik Islam Iran itu sendiri. Mousavi sendiri anti-Amerika, anti-Israel dan menyokong pembangunan tenaga dan senjata nuklear.
Maka jika dilihat daripada liputan media Barat terhadap Amerika, dapatlah disaksikan bahawa pandangan mereka berfokus kepada kepentingan dan sudut budaya sendiri tanopa menghormati fahaman dan cara fikir orang lain. Inilah yang menjadikan mereka hipokrit. Semua pihak wajar ingat bahawa dunia ini adalah milik semua makhluk yang menghuninya. Di peringkat manusia, bumi adalah milik semua manusia yang mempunyai keragaman kepercayaan, cara hidup, dan harapan.
Sememangnya Amerika berada pada kedudukan dominan dalam dunia dengan Barack Obama dipaparkan bukan saja sebagai presiden Amerika tetapi pemimpin bagi dunia. Tetapi dari segi perundangan dan perlembagaan, beliau hanyalah salah satu daripada beratus-ratus pemimpin dunia yang bertannggubjawab meimpin dan melindungi rakyatnya. Kepimpinannya terhadap dunia adalah bersama dengan pemimpin-pemimpin lain, iaitu dengan taraf saksama.
Obama adalah setaraf dengan Ahmedinejad. Walaupun sistem demokrasi berpilihan raya kedua-dua negara itu berbeza, tetapi mereka merupakan penzahiran kepada kehendak rakyat di negara masing-masing. Pertentangan Mosavi dengan Ahmedinejad adalah masalah dalam negara, walaupun menarik minat para pemerhati, tetapi ia wajar dilihat dari segi masalah yang berkembang dalam negara itu. Tidak timbul bahawa rakyat Iran hendak mengubah sistem supaya negara mereka menjadi seperti Amerika.
Isnin, 13 Julai 2009
Petua Ketika Memandu
Semua orang, apabila memandu kereta terutama untuk perjalanan jauh spt balik kampung berhari raya, travelling kerana tugas rasmi dsbnya, akan merasa mengantuk yg teramat sangat ketika memandu. Hal ini boleh mengundang padah kerana hanya sedetik sahaja anda terlelap ketika memandu, kemungkinan untuk anda ditimpa kemalangan adalah 99% kerana ketika terlelap itu, otak anda tidak lagi berfungsi dan sedar, mata tertutup dan anggota tangan dan kaki tidak lagi dpt mengawal kenderaan yg dipandu. Berdasarkan pengalaman saya, sepotong ayat Al Quran di dalam Ayat Qursi boleh dijadikan penawar untuk menghilangkan rasa mengantuk ini. Potongan ayat tersebut berbunyi...
"LA TAKKHUDZUHU SINATUW WALA NAUM..."
(maknanya: [DIA - ALLAH] TIDAK MENGANTUK DAN TIDAK TIDUR")
Selain itu, amalan mustajab untuk mengelak berlakunya kemalangan adalah dengan membaca Ayat Qursi 3x sebelum memasukkan gear pertama mahu memulakan perjalanan anda ditambah dengan ayat
"BISMILLAHIL LADZI LA YADHURUHU MA'ASMIHI SYAIUN FIL ARDHI WALA FISSAMAA' WAHUWASSAMIUN 'ALIIMM" 3X.
SELAMAT MENCUBA !! SEBARKAN KPD RAKAN2 ANDA UNTUK MANAFAAT BERSAMA
Bangsal Lama
Kuasa Mutlak SUAMI dan IBU
Hanya ada dua orang yang mempunyai kuasa ini. SUAMI dan IBU. Kuasa suami
keatas isteri dan kuasa ibu keatas anak2. Kuasa Mutlak ini sungguh besar
ertinya disisi agama Islam sehingga seseorang itu akan dimurkai Allah
sekiranya dia menyakiti hati dua golongan tadi. Sebagai contoh; seorang
isteri yang melukai hati suaminya walau sedikit akan berdosa besar (bukan
dalam kes terkecuali) begitu juga anak2 terhadap ibunya.
Kalau isteri - bayangkan seorang isteri yang secara tidak sedar menyakiti
hati suaminya dan tidak meminta maaf. Isteri tersebut akan terus berdosa
dan sekiranya dia hamil, anak tersebut akan dikandung didalam badan yang
berdosa. Besar kemungkinan anak tersebut akan mendapat banyak sifat2 yang
tidak baik dan seterusnya anak itu lahir dan membesar dan menjadi dewasa
dan membawa sifat2 yang tidak elok itu kedalam zuriatnya. Tambahan pula
dalam keadaan berdosa bagaimana doa2nya akan diterima Allah? Tanpa doa
yang diterima, apalagi daya kita untuk mendapat kebahagiaan?
Kalau anak-anak cukup senang untuk mendapat dosa. Terguris sahaja hati
ibunya oleh kata2 atau perbuatan maka anak tersebut akan berdosa. Yang
paling ditakuti dosa tersebut tidak disedarinya. Sekiranya anak tidak
meminta ampun maka dosa tersebut akan terus dipikul. Kesanya, doa2 anak
tersebut tidak diterima Allah, ibadatnya tidak mendapat pahala, hidupnya
akan tidak mendapat berkat dll. Akhirnya anak akan mendapat berbagai
balasan dari Allah dibumi lagi.
Cerita - Kita sering ditakutkan oleh para ustaz tentang cerita bagaimana
dua orang pemuda yang solleh mendapat seksaan Allah dizaman Nabi saw. Yang
seorang sebab dia TAK SEDAR menyakiti ibunya apabila habuk yang disapu
terkena ibunya TANPA DISEDARI. Dan yang seorang lagi kerana TANPA DISEDARI
dia menyakiti hati ibunya kerana mengutamakan isterinya. Ke dua2 diseksa
oleh Allah sehingga nabi memerintahkan kedua ibu tadi mengampunkan
anak2nya.
Ustaz kata cerita tersebut menyuruh kita sentiasa taat kepada ibu.
Sebenarnya itu hanyalah setengah dari pengajaranya. Ada lagi setengah -
IBU mesti tahu kuasa yang diberi kepada mereka. Oleh itu IBU MESTI
MENGAMPUNKAN ANAKNYA SETIAP MALAM samada anaknya meminta atau tidak dan
begitu juga
dengan SUAMI MESTI MENGAMPUNKAN ISTERINYA SETIAP MALAM samada isteri
meminta atau tidak. Cerita tersebut mengajar kita bahawa sebagai IBU kita
mempunyai satu kelebihan yang besar keatas anak2 kerana berdasarkan cerita
itu tidak mungkin pemuda2 tersebut sedar akan kesalahan mereka. Kalau dah
tak sedar, bagaimana pula ingin meminta ampun.
Seorang suami dan ibu MESTI tahu akan KUASA MUTLAK ini dan kuasa ini
hendaklah dijaga dengan baik. InsyAllah bermula dari satu keluarga yang
mana suami memaafkan isteri dan ibu memaafkan anak, maka lahirlah satu
masyarakat yang mendapat berkat dari Allah, sentiasa dibawah lindunganNya
dan menjadi umat Islam yang menghayati Islam.
Ingatlah seorang ISTERI (wanita) mesti taat kepada SUAMInya (lelaki). Si
SUAMI (lelaki) mesti taat kepada IBUnya (wanita). Isteri akan menjadi ibu
yang akan melahirkan anak yang akan menjadi suami (anak lelaki) dan juga
isteri (anak perempuan) dan seterusnya mereka akan melahirkan pula bakal2
suami dan isteri. Jadi tidak ada yang ketinggalan. Semuanya akan merasa
mempunyai KUASA MUTLAK. Tetapi yang penting bukanlah ' mempunyai '
tetapi
MESTI menggunakan dengan bijak.
Bangsal Lama