Jumaat, 25 September 2009

Belajar daripada pengalaman orang lain

Banyak perkara yang kita di Malaysia dapat pelajari daripada pengalaman rakyat di negara-negara yang lain. Di Palestin, rakyatnya yang telah lama dijajah dan mengalami serba macam penderitaan dan penindasan dari segi ekonomi, politik, sosial, pendidikan dan sebagainya tidak diindahkan dunia antarabangsa kerana mereka telah dikelirukan oleh kuasa dunia yang berpengaruh bahawa mereka adalah pengganas dan pengancam terhadap keselamatan dunia.

Keadaan umat Iraq juga sama, dan demikian juga halnya dengan umat di Afghanistan, mereka semuanya dimasukkan ke dalam golongan pengganas, dan perlu diperangi habis-habisan. Presiden Bush baru sahaja mengumumkan bahawa ribuan askarnya yang sekarang menduduki Iraq akan dipindahkan ke Afghanistan untuk memerangi ancaman “pengganas” yang kelihatan semakin berleluasa akhir-akhir ini. Tindakan itu perlu dilakukan katanya “untuk menyelamatkan anak cucu kita daripada pengganas dunia itu”.

Kadang-kadang tindakan pribumi sesebuah negara yang tertindas, dan telah lama teraniaya, untuk memperjuangkan hak mereka sering dilihat sebagai tindakan ganas dan mengancam keselamatan orang lain. Tindakan rakyat Palestin dalam memperjuangkan hak mereka umpamanya, terutamanya ketika mereka bertindak ganas sebagai reaksi terhadap kekerasan yang dilakukan kepada mereka, sering dianggap sebagai tindakan ganas yang tidak mengikut lunas-lunas demokrasi dan peri kemanusiaan. 

Ertinya, mereka yang bertindak untuk melepaskan diri dari penginayaan sering pula dilabelkan sebagai golongan pelampau, sedangkan tindakan pihak kerajaan Israel yang bertindak ganas terhadap mereka mendapat pembelaan sebagai satu kuasa yang bertujuan menegakkan keamanan dan demokrasi di sana.

Perkembangan politik di negara kita akhir-akhir ini yang mengalami perubahan radikal secara mendadak menampakkan satu aliran yang keseluruhannya meletakkan kesalahan terhadap institusi-institusi yang terlibat dengan hak dan keistimewaan orang Melayu dan umat Islam.


Hak istimewa orang Melayu dan isu-isu yang berkaitan dengan kontrak sosial, dasar ekonomi baru, dasar pendidikan, malah isu-isu agama Islam juga sering dibangkitkan oleh banyak kalangan yang menampakkan dasar perkauman yang jelas berbanding dengan keadaan politik dan sosial negara kita beberapa dekad yang lalu. 

Akibat daripada keadaan ini, maka kempen secara meluas dan menyeluruh oleh pertubuhan bukan Kerajaan dan politik di tanah air kita telah dijalankan serentak sehingga rakyat majoriti terpengaruh dengan kempen tersebut, dan dengan itu maka segala tentangan terhadap hak istimewa orang Melayu, dan segala institusi yang dikaitkan dengan orang Melayu dan Islam mulai dikritik begitu rupa sehingga keadaan kelihatan amat tidak terkawal, terutamanya yang menyentuh sensitiviti orang Melayu dan Islam sendiri.

Perubahan arah pemikiran dan persepsi rakyat ini telah dieksploitasikan oleh berbagai-bagai pihak, terutamanya oleh ahli politik yang mencari keuntungan peribadi, para rasist yang sekian lama memperjuangkan kaum dan budayanya, dan kalangan yang sekian lama memperjuangkan ideologi politik sempit mereka untuk dipaksakan menjadi dasar pemerentahan yang selama ini tidak diterima oleh rakyat umum.

Alasan mereka kelihatan agak menyakinkan, iaitu kerana kepincangan yang mereka andaikan itulah yang kononnya menyebabkan rakyat majoriti tidak memilih parti BN di dalam pilihan raya yang lalu, yang selama ini menguasai negara dengan majoriti kerusi yang banyak, sedangkan faktor-faktor lain tidak mereka ketengahkan sama sekali, malah kalau boleh haruslah dipendamkan supaya tidak timbul barang sedikit pun.

Sebenarnya, kekalahan di dalam pilihan raya tidaklah boleh diterjemahkan secara yang amat simplistik begitu. Saya rasa keputusan pilihan raya yang berdasarkan persepsi, terutamanya persepsi palsu yang diheboh-hebohkan sekian lama sebelum menjelangnya pilihan raya lagi, sehingga mempengaruhi orang awam, tidaklah dapat dijadikan ukuran bahawa orang atau parti yang memenangi pilihana raya itu adalah merupakan orang atau parti yang paling baik.

Rasulullah s.a.w ketika mulai diutuskan oleh Allah s.w.t untuk memimpin manusia ke jalan yang benar itu pun telah dianggap sebagai ahli sihir dan penyair oleh para musuhnya dan kalangan pihak tradisionalis yang mahu mempertahankan adat dan tradisi lama mereka. Sekiranya kita mengandaikan pada ketika itu diadakan pilihan raya untuk memilih pemimpin tertinggi di dalam masyarakat itu, mungkin mereka sebagai pengundi fanatik melulu tidak akan memilih Nabi Muhammad sebagai pemimpin mereka.

Sebab itulah juga ketika proses pemilihan khalifah Islam selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w, maka pemilihan itu tidak dilakukan secara undi yang terbuka kepada umum, malahan satu lembaga pemilih yang terdiri daripada kalangan para bijak pandai saja yang membuat pilihan.

Oleh itu, persepsi rakyat umum tidaklah seharusnya menjadi ukuran mutlak sehingga dengan itu kita dapat terus membuat kesimpulan begitu dan begini, terutamanya sekiranya hal itu ditafsirkan secara melulu mengikut kepentingan yang tertentu, oleh pihak-pihak yang tertentu.

Malah di dalam pilihana raya yang lalu, pengundi masih menaruh kepercayaan kepada calon-calon UMNO yang selama ini dianggap sebagai parti yang moderat, jadi kenapa pula segala kesalahan harus dibebankan kepada orang Melayu, terutamanya jika dilihat kepada perangkaan orang Melayu yang menjadi anggota parti politik maka bukan semua orang Melayu berada di dalam satu parti politik yang tertentu. Banyak lagi orang Melayu yang tidak pun menjadi anggota mana-mana parti politik.

Oleh itu, percubaan untuk mengubah persepsi umum tentang dasar negara mengenai hak istimewa orang Melayu, dasar ekonomi baru dan isu-isu agama yang dianggap tidak demokratik, dan harus dibangkitkan secara telus dan terus terang tanpa menghiraukan sensitiviti kaum dan agama lagi, telah mengakibatkan ahli politik Melayu sendiri melatah, dan mengeluarkan reaksi spontan tentang dasar undang-undang, biasiswa, ekonomi dan sebagainya, seolah-olah kempen reverse psychology yang dilancarkan dengan hebat itu, benar-benar menjadi perangkap yang memerangkap ahli politik Melayu sendiri.

Oleh itu, tidak hairanlah dalam keadaan ini akan timbul satu dua kambing hitam yang memberi reaksi penuh emosi terhadap perkembangan terakhir yang dianggap melampaui batas-batas keharmonian kaum dan agama yang menyebabkan mereka bertindak liar sebagai reaksi terhadap apa yang dianggapnya sebagai tindakan melampau dari orang lain untuk merampas haknya.

Hal inilah yang timbul ketika Bar Council menganjurkan forum tentang isu agama baru-baru ini ketika seorang ahli PKR yang bertindak menentangnya dianggap sebagai tidak mematuhi disiplin parti sedangkan ia bertindak atas sifatnya seorang Muslim, dan suara emosional yang timbul dari pemimpin UMNO Bukit Bendera mengenai pendatang ke negara Malaysia ini yang mendapat sokongan semua Bahagian UMNO Pulau Pinang. Orang-orang yang merasa bahawa kaum dan agamanya tercabar dengan begitu hebat akan bertindak dengan keras, walaupun tindakan itu sebenarnya agak keterlaluan pada pandangan umum.

Sebab itulah d iatas telah saya tegaskan bahawa aksi dan reaksi haruslah diberikan pertimbangan yang sewajarnya sebelum daripada menghukum mana-mana pihak yang terlibat, kerana kita tidak mahu menjadi seperti kes rakyat Palestin yang teraniya dan tertindas, yang akhirnya mereka pula yang dianggap bersalah dan patut dihukum, sedangkan pihak lain yang lebeh kejam lagi dijulang sebagai wira.

 Oleh itu, kita rakyat Malaysia, dari sebarang kaum dan keturunan, haruslah segera kembali kepada dasar dan sejarah penubuhan dan pembangunan negara kita yang selama ini menjadi contoh terbaik kepada dunia sebagai negara yang stabil dan aman damai. Keutuhan kepimpinan negara kita selama ini telah dapat mengawal dan mengarahkan negara ini dengan baik, oleh itu kita tidak mahu rakyat di negara ini menjadi seperti anak ayam kehilangan ibu.
Oleh DATO’ DR ISMAIL IBRAHIM

Tiada ulasan: