Jumaat, 25 September 2009

Politik wang: Kesan ke atas akidah

Junjungan Besar, Rasulullah s.a.w diberi gelaran al-Amin disebabkan ketinggian sifat amanah dan jujur serta kewibawaan dan ketrampilan baginda dalam memberi perkhidmatan cemerlang kepada masyarakat. Gelaran al-Amin ini telah membangkitkan rasa kasih sayang berterusan sebahagian besar masyarakat Quraisy kepada Rasulullah s.a.w. 

Gelaran ini tidak hanya diakui oleh umat baginda, bahkan seluruh masyarakat Arab waktu itu turut menyanjungi kejujuran baginda. Inilah buktinya bahawa kepimpinan hari ini adalah berwibawa jika ada kejujuran dan ketegasan terhadap perkara kebenaran. Dalam konteks negara kita, usaha kerajaan untuk membasmi gejala rasuah, politik wang, penyelewengan dan salah guna kuasa merupakan manifestasi daripada intipati sifat al-Amin dalam konteks kepimpinan yang diredai Allah s.w.t. 

Justeru itu, dalam konteks dasar kerajaan memerangi gejala rasuah tersebut adalah bertepatan dengan kaedah dan ajaran yang disarankan oleh Rasulullah s.a.w. Umat Islam harus diciptakan menjadi umat yang mempunyai semangat jihad untuk melawan apa jua bentuk rasuah.  

Pengajaran penting daripada tindakan yang diambil oleh kerajaan ke atas isu-isu yang berkaitan dengan politik wang adalah untuk melahirkan semangat jihad memerangi rasuah. Dan yang terpenting, orang yang memimpin itu adalah orang yang dipercayai dan jujur. Justeru itu tindakan yang diambil oleh Lembaga Disiplin UMNO terhadap mereka yang didapati bersalah mengamalkan politik wang adalah bukti ketegasan parti tersebut dalam menangani masalah rasuah di kalangan ahli politik. 

Persoalannya, mengapa sesetengah anggota masyarakat kita berkecenderungan untuk melakukan rasuah? Jawapannya, sudah tentu kerana tidak ada kejujuran, iaitu tidak berani untuk melihat kelemahan diri sendiri serta kekayaan yang dimiliki. Golongan ini sebenarnya takut kepada bayang-bayang sendiri walhal ketakutan itu berpunca daripada dalam dirinya.  

Perlu diingat bahawa orang yang memberi rasuah juga berdosa dan yang mengambil atau menerimanya juga berdosa. Bagaimana seandainya tidak ada orang yang memberi walaupun dipinta, maka sudah tentu rasuah tidak akan berlaku. Begitu juga seandainya tidak ada orang yang meminta, maka sudah pasti orang yang memberi rasuah juga tidak akan wujud. Inilah penyakit yang sukar diubati dan dihidapi oleh sesetengah pemimpin Melayu-Islam hari ini. 

Permasalahan politik wang seakan-akan satu permasalahan yang tidak berkesudahan. Sebagai seorang Muslim yang meyakini akan adanya hari pembalasan dalam kehidupannya, tentunya tidak menganggap permasalahan ini sebagai perkara biasa sahaja. Malah kesan daripada perbuatan rasuah ini akan mengikis akidah keimanan seseorang itu. Golongan ini terlalu meyakini bahawa wang adalah segala-galanya – dengan wang mereka boleh menperoleh kuasa. Mereka seumpama Firaun yang tidak menpercayai Allah s.w.t kerana bagi mereka harta dan kekayaan itulah kekuasaan. Percayalah bahawa kepimpinan atau kekuasaan yang diperoleh secara haram itu tidak akan kekal lama kerana ianya tidak diredai Allah s.w.t. 

Dalam hal ini, terdapat hadis sahih daripada Nabi s.a.w, bahawasanya baginda (yang bermaksud) “melaknat perasuah dan orang yang dirasuah.” (Riwayat Abu Daud) 

Sememangnya rasuah itu adalah salah satu daripada dosa besar, manakala rasuah yang paling keji dan besar dosanya ialah rasuah yang berkaitan dengan hukum atau undang-undang kerana yang menetapkan hukum itu hanya Allah s.w.t, dan manusia sebagai pelaksana sahaja. Melakukan penyelewengan dalam hukum bererti melanggar perintah Allah s.w.t.  

Hal ini dapat dijelaskan sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Rasuah dalam urusan yang berkaitan dengan hukum adalah kufur.” (Riwayat at-Tarmizi) 

Untuk menggambarkan perlakuan itu adalah perbuatan tercela dan berdosa besar, Nabi Muhammad s.a.w membuat perbandingan dengan salah satu daripada bentuk riba yang boleh menyebabkan seseorang itu dihumban ke dalam neraka. Pengamal atau penerima rasuah, pemberi dan sesiapa sahaja yang terlibat dengan gejala tersebut dikira sama sahaja sebagaimana juga pemakan riba dan pemberi, saksi dan orang yang menguruskannya sebagaimana sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: “Rasulullah melaknat pemakan riba, pemberinya, orang yang menguruskannya dan saksinya, mereka itu adalah sama.” (Riwayat Muslim) 

Seseorang yang menginginkan seuatu jawatan atau kedudukan terhormat dalam pemerintahan, ditakuti kemungkinan besar akan mengorbankan agamanya demi mencapai keinginannya itu. Dia rela melakukan apa sahaja meskipun perbuatan maksiat demi untuk mendapatkannya atau mempertahankan kedudukan yang telah diraih. 

Rasulullah s.a.w juga pernah menolak permintaan salah seorang sahabat yang datang meminta agar diberi jawatan dalam pemerintahan. Lantas baginda bersabda yang bermaksud: “Kami tidak akan memberikan jawatan dalam pemerintahan ini kepada orang yang memintanya dan bercita-cita untuk mendapatnya.” 

Alasan penolakan ini kerana setiap orang yang bercita-cita tinggi ini sudah tentu berani untuk melakukan apa sahaja demi mendapatkan jawatan tersebut. Ini juga adalah kerana perkara ini dapat menghalangi taufik Allah s.w.t dalam memenuhi tanggungjawabnya. Mereka terlalu berani dan tidak takut kepada undang-undang dan sanggup menghabiskan wang yang banyak demi untuk mendapat dan menpertahankan jawatan itu. Namun apabila jawatan dalam pemerintahan itu diberikan kepada orang yang tidak menginginkannya atau tidak menyukainya, maka Allah s.w.t akan memberinya taufik dan akan menbantunya dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut. 

Penyerahan kuasa atau perlantikan seseorang pemimpin yang tidak benar-benar layak sudah pastinya tidak dapat melaksanakan tugas dengan baik dan sepatutnya. Dalam konteks ini, ia memiliki ‘peluang dan ruang’ untuk melakukan pengkhianatan atau penyelewengan. Pengkhianatan dan penyelewengan itu bukan sahaja dari kalangan pemimpin itu, bahkan orang yang terlibat sama dalam proses perlantikan dan pemilihan juga dikira sebagai pengkhianat kerana mereka sudah tahu orang yang mereka akan lantik tidak boleh melaksanakan tugas. Apatah lagi kalau pemilihan tersebut atas dasar sentimen kepuakan atau kekayaan semata-mata, bukan atas dasar kelayakan dan pemilihan yang tepat. 

Ingatlah pesan Rasulullah s.a.w dalam satu hadis baginda yang bermaksd: “Manusia apabila melihat kemungkaran, tidak merubahnya, maka dipastikan hampir sahaja Allah menimpakan seksaan-Nya secara menyeluruh.” (Riwayat Ahmad)

Belajar daripada pengalaman orang lain

Banyak perkara yang kita di Malaysia dapat pelajari daripada pengalaman rakyat di negara-negara yang lain. Di Palestin, rakyatnya yang telah lama dijajah dan mengalami serba macam penderitaan dan penindasan dari segi ekonomi, politik, sosial, pendidikan dan sebagainya tidak diindahkan dunia antarabangsa kerana mereka telah dikelirukan oleh kuasa dunia yang berpengaruh bahawa mereka adalah pengganas dan pengancam terhadap keselamatan dunia.

Keadaan umat Iraq juga sama, dan demikian juga halnya dengan umat di Afghanistan, mereka semuanya dimasukkan ke dalam golongan pengganas, dan perlu diperangi habis-habisan. Presiden Bush baru sahaja mengumumkan bahawa ribuan askarnya yang sekarang menduduki Iraq akan dipindahkan ke Afghanistan untuk memerangi ancaman “pengganas” yang kelihatan semakin berleluasa akhir-akhir ini. Tindakan itu perlu dilakukan katanya “untuk menyelamatkan anak cucu kita daripada pengganas dunia itu”.

Kadang-kadang tindakan pribumi sesebuah negara yang tertindas, dan telah lama teraniaya, untuk memperjuangkan hak mereka sering dilihat sebagai tindakan ganas dan mengancam keselamatan orang lain. Tindakan rakyat Palestin dalam memperjuangkan hak mereka umpamanya, terutamanya ketika mereka bertindak ganas sebagai reaksi terhadap kekerasan yang dilakukan kepada mereka, sering dianggap sebagai tindakan ganas yang tidak mengikut lunas-lunas demokrasi dan peri kemanusiaan. 

Ertinya, mereka yang bertindak untuk melepaskan diri dari penginayaan sering pula dilabelkan sebagai golongan pelampau, sedangkan tindakan pihak kerajaan Israel yang bertindak ganas terhadap mereka mendapat pembelaan sebagai satu kuasa yang bertujuan menegakkan keamanan dan demokrasi di sana.

Perkembangan politik di negara kita akhir-akhir ini yang mengalami perubahan radikal secara mendadak menampakkan satu aliran yang keseluruhannya meletakkan kesalahan terhadap institusi-institusi yang terlibat dengan hak dan keistimewaan orang Melayu dan umat Islam.


Hak istimewa orang Melayu dan isu-isu yang berkaitan dengan kontrak sosial, dasar ekonomi baru, dasar pendidikan, malah isu-isu agama Islam juga sering dibangkitkan oleh banyak kalangan yang menampakkan dasar perkauman yang jelas berbanding dengan keadaan politik dan sosial negara kita beberapa dekad yang lalu. 

Akibat daripada keadaan ini, maka kempen secara meluas dan menyeluruh oleh pertubuhan bukan Kerajaan dan politik di tanah air kita telah dijalankan serentak sehingga rakyat majoriti terpengaruh dengan kempen tersebut, dan dengan itu maka segala tentangan terhadap hak istimewa orang Melayu, dan segala institusi yang dikaitkan dengan orang Melayu dan Islam mulai dikritik begitu rupa sehingga keadaan kelihatan amat tidak terkawal, terutamanya yang menyentuh sensitiviti orang Melayu dan Islam sendiri.

Perubahan arah pemikiran dan persepsi rakyat ini telah dieksploitasikan oleh berbagai-bagai pihak, terutamanya oleh ahli politik yang mencari keuntungan peribadi, para rasist yang sekian lama memperjuangkan kaum dan budayanya, dan kalangan yang sekian lama memperjuangkan ideologi politik sempit mereka untuk dipaksakan menjadi dasar pemerentahan yang selama ini tidak diterima oleh rakyat umum.

Alasan mereka kelihatan agak menyakinkan, iaitu kerana kepincangan yang mereka andaikan itulah yang kononnya menyebabkan rakyat majoriti tidak memilih parti BN di dalam pilihan raya yang lalu, yang selama ini menguasai negara dengan majoriti kerusi yang banyak, sedangkan faktor-faktor lain tidak mereka ketengahkan sama sekali, malah kalau boleh haruslah dipendamkan supaya tidak timbul barang sedikit pun.

Sebenarnya, kekalahan di dalam pilihan raya tidaklah boleh diterjemahkan secara yang amat simplistik begitu. Saya rasa keputusan pilihan raya yang berdasarkan persepsi, terutamanya persepsi palsu yang diheboh-hebohkan sekian lama sebelum menjelangnya pilihan raya lagi, sehingga mempengaruhi orang awam, tidaklah dapat dijadikan ukuran bahawa orang atau parti yang memenangi pilihana raya itu adalah merupakan orang atau parti yang paling baik.

Rasulullah s.a.w ketika mulai diutuskan oleh Allah s.w.t untuk memimpin manusia ke jalan yang benar itu pun telah dianggap sebagai ahli sihir dan penyair oleh para musuhnya dan kalangan pihak tradisionalis yang mahu mempertahankan adat dan tradisi lama mereka. Sekiranya kita mengandaikan pada ketika itu diadakan pilihan raya untuk memilih pemimpin tertinggi di dalam masyarakat itu, mungkin mereka sebagai pengundi fanatik melulu tidak akan memilih Nabi Muhammad sebagai pemimpin mereka.

Sebab itulah juga ketika proses pemilihan khalifah Islam selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w, maka pemilihan itu tidak dilakukan secara undi yang terbuka kepada umum, malahan satu lembaga pemilih yang terdiri daripada kalangan para bijak pandai saja yang membuat pilihan.

Oleh itu, persepsi rakyat umum tidaklah seharusnya menjadi ukuran mutlak sehingga dengan itu kita dapat terus membuat kesimpulan begitu dan begini, terutamanya sekiranya hal itu ditafsirkan secara melulu mengikut kepentingan yang tertentu, oleh pihak-pihak yang tertentu.

Malah di dalam pilihana raya yang lalu, pengundi masih menaruh kepercayaan kepada calon-calon UMNO yang selama ini dianggap sebagai parti yang moderat, jadi kenapa pula segala kesalahan harus dibebankan kepada orang Melayu, terutamanya jika dilihat kepada perangkaan orang Melayu yang menjadi anggota parti politik maka bukan semua orang Melayu berada di dalam satu parti politik yang tertentu. Banyak lagi orang Melayu yang tidak pun menjadi anggota mana-mana parti politik.

Oleh itu, percubaan untuk mengubah persepsi umum tentang dasar negara mengenai hak istimewa orang Melayu, dasar ekonomi baru dan isu-isu agama yang dianggap tidak demokratik, dan harus dibangkitkan secara telus dan terus terang tanpa menghiraukan sensitiviti kaum dan agama lagi, telah mengakibatkan ahli politik Melayu sendiri melatah, dan mengeluarkan reaksi spontan tentang dasar undang-undang, biasiswa, ekonomi dan sebagainya, seolah-olah kempen reverse psychology yang dilancarkan dengan hebat itu, benar-benar menjadi perangkap yang memerangkap ahli politik Melayu sendiri.

Oleh itu, tidak hairanlah dalam keadaan ini akan timbul satu dua kambing hitam yang memberi reaksi penuh emosi terhadap perkembangan terakhir yang dianggap melampaui batas-batas keharmonian kaum dan agama yang menyebabkan mereka bertindak liar sebagai reaksi terhadap apa yang dianggapnya sebagai tindakan melampau dari orang lain untuk merampas haknya.

Hal inilah yang timbul ketika Bar Council menganjurkan forum tentang isu agama baru-baru ini ketika seorang ahli PKR yang bertindak menentangnya dianggap sebagai tidak mematuhi disiplin parti sedangkan ia bertindak atas sifatnya seorang Muslim, dan suara emosional yang timbul dari pemimpin UMNO Bukit Bendera mengenai pendatang ke negara Malaysia ini yang mendapat sokongan semua Bahagian UMNO Pulau Pinang. Orang-orang yang merasa bahawa kaum dan agamanya tercabar dengan begitu hebat akan bertindak dengan keras, walaupun tindakan itu sebenarnya agak keterlaluan pada pandangan umum.

Sebab itulah d iatas telah saya tegaskan bahawa aksi dan reaksi haruslah diberikan pertimbangan yang sewajarnya sebelum daripada menghukum mana-mana pihak yang terlibat, kerana kita tidak mahu menjadi seperti kes rakyat Palestin yang teraniya dan tertindas, yang akhirnya mereka pula yang dianggap bersalah dan patut dihukum, sedangkan pihak lain yang lebeh kejam lagi dijulang sebagai wira.

 Oleh itu, kita rakyat Malaysia, dari sebarang kaum dan keturunan, haruslah segera kembali kepada dasar dan sejarah penubuhan dan pembangunan negara kita yang selama ini menjadi contoh terbaik kepada dunia sebagai negara yang stabil dan aman damai. Keutuhan kepimpinan negara kita selama ini telah dapat mengawal dan mengarahkan negara ini dengan baik, oleh itu kita tidak mahu rakyat di negara ini menjadi seperti anak ayam kehilangan ibu.
Oleh DATO’ DR ISMAIL IBRAHIM

Hipokrasi Barat terhadap Iran

Apabila diteliti apa yang dipaparkan oleh media Barat terhadap Iran, maka dapat disaksikan betapa hipokritnya mereka terhadap nilai-nilai yang diperjuangkannya dengan apa yang sebenarnya berlaku di negara-negara lain. Barat di sini merujuk kepada keseluruhan tamadun Amerika-Eropah di bawah pimpinan Washington. 

Mereka mengecam Iran kerana sistem pilihan rayanya dianggap tidak telus dan dimanipulasi ulama. Tetapi ketika Iran menjadi sekutu Amerika Syarikat di bawah Shah Reza Pahlavi yang tidak pernah mengadakan pilihan raya, Washington tidak mengkritik atau mendesak Teheran supaya mengamalkan demokrasi.

Apa yang dipedulikan Washington adalah sukap Iran yang menjadi sekutunya menentang Moscow, pembekal minyak kepadanya yang setia dan mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel. Akhirnya yang memperkenalkan suatu sistem demokrasi berpilihan raya ialah Ayatullah Khomeini sendiri yang secara bijak membolehkan penubuhan sebuah negara Islam menurut fahaman Syiah tetapi pada waktu sama mempunyai amalan demokrasi berpilihan raya.

Republik Islam Iran adalah sebuah eksperimen yang setakat ini boleh dianggap berjaya menghasilkan sebuah negara di mana hasil daripada Revolusi Islam, lahir sebuah perlembagaan dengan sistem pemerintahan yang merangkumi hak ulama ke atas kepimpinan di samping hak rakyat umum untuk menyertai dalam pentadbiran kerajaan.

Maka pada awal penubuhan Republikk Islam Iran, sememangnya terdapat fahaman keperluannya parti politik. Maka mereka yang mendokong republik ini menubuhkan Parti Republik Islam yang muncul bersama pelbagai parti politik lain. Antara pengasas parti ini ialah Mir Hoessein Mousavi yang menjadi calon bertanding dalam pilihan raya presiden baru-baru ini.

Tetapi kemudian, Khomeini mendapati bahawa sistem politik kepartian menimbulkan kesan-kesan negatif dari segi ia menimbulkan kumpulan-kumpulan yang boleh memecah-bekahgkan masyarakat. Maka Khomeini mengisytiharkan parti-parti politik tetapi kumpulan-kumpulan berotrganiasi dibenarkan bagi menyokong mana-mana calon dalam parti.

Dalam apa jua sistem pemerintahan, termasuk yang berbentuk demokrasi berpilihan raya, calon-calon yang bertanding adalah mereka yang mendokong perlembagaan dan bentuk negara masing-masing. Begitu juga di Amerika Syarikat. Andainya seseorang calon presiden menantang perlembagaan Amerika, adakah beliau dibenarkan bertanding? Tentunya tidak. Ini kerana mana-mana perlembagaan diolah sebegitu rupa supaya bentuk negara itu tidak dicabar.

Walau terhadap Amerika, pemerhati luar akan sedar bahawa hanya salah satu daripada dua calon, iaitu dari Parti Republikan dan Parti Demokratik akan menang, dengan kedua-duanya meletakkan Israel sebagai sekutu muktamad yang tidak boleh digugat pinda sebagai suatu sistem yang mengongkong tetapi tidaklah meuar-uarkan bahawa ia adalah pemerintahan yang tidak demokratik.

Sebaliknya, Amerika akan berusaha untuk memaksa nilai-nilai demokrasinya diterima pakai oleh negara-negara lain. Maksud Amerika di sini bukannya kerajaan semata-mata tetapi rakyat negara itu seara umumnya baik diungkapkan melalui media massa atau agensi-agensi pemikir.

Justeru, adalah tidak menghairankan betapa Mousavi mencabar Mahmoud Ahmedinejad, maka sokongan pihak Barat adalah jelas. Mereka menyokong Mousavi yang digambarkan begitu rupa seolah-olah beliau adalah seorang reformis dan pro-demokrasi, sementara Ahmedinejad adalah konservatif, radikal dan lebih pentingnya anti-Amerika.

Kebencian mereka terhadap Ahmedinejad adaalh jelas kerana pertamanya presiden Iran itu menafikan Holocaust, suatu yang pantang besar bagi pihak Barat. Sudah tentu golongan Yahudi dan pro-Yahudi berasa jijik terhadap Ahmedinejad yang berpegang kepada fahaman itu. Sikapnya yang dilihat sebagai anti-Israel dan anti-Amerika serta usahanya untuk membangunkan senjata nuklear dengan sendirinya Barat menentangnya. Maka cara terbaik ialah dengan memberi sokongan kepada Mousavi.

Tetapi di bawah penentangan mereka ke atas Ahmedinejad adalah harapan mereka supaya Republik Islam Iran tumbang untuk digantikan dengan sistem politik demokrasi ala Barat di mana tentunya tidak ada ulama untuk memandu negara itu, tetapi lebih daripada itu ialah Iran hendak dijadikan sekutu Washington yang berbaik dengan Israel.

Sedangkan apa yang berlaku di Iran ialah pemilihan personaliti yang mempunyai pendekatan berbeza terhadap pentadbiran tetapi tidaklah sampai kepada mengubah Republik Islam Iran itu sendiri. Mousavi sendiri anti-Amerika, anti-Israel dan menyokong pembangunan tenaga dan senjata nuklear.

Maka jika dilihat daripada liputan media Barat terhadap Amerika, dapatlah disaksikan bahawa pandangan mereka berfokus kepada kepentingan dan sudut budaya sendiri tanopa menghormati fahaman dan cara fikir orang lain. Inilah yang menjadikan mereka hipokrit. Semua pihak wajar ingat bahawa dunia ini adalah milik semua makhluk yang menghuninya. Di peringkat manusia, bumi adalah milik semua manusia yang mempunyai keragaman kepercayaan, cara hidup, dan harapan.

Sememangnya Amerika berada pada kedudukan dominan dalam dunia dengan Barack Obama dipaparkan bukan saja sebagai presiden Amerika tetapi pemimpin bagi dunia. Tetapi dari segi perundangan dan perlembagaan, beliau hanyalah salah satu daripada beratus-ratus pemimpin dunia yang bertannggubjawab meimpin dan melindungi rakyatnya. Kepimpinannya terhadap dunia adalah bersama dengan pemimpin-pemimpin lain, iaitu dengan taraf saksama. 

Obama adalah setaraf dengan Ahmedinejad. Walaupun sistem demokrasi berpilihan raya kedua-dua negara itu berbeza, tetapi mereka merupakan penzahiran kepada kehendak rakyat di negara masing-masing. Pertentangan Mosavi dengan Ahmedinejad adalah masalah dalam negara, walaupun menarik minat para pemerhati, tetapi ia wajar dilihat dari segi masalah yang berkembang dalam negara itu. Tidak timbul bahawa rakyat Iran hendak mengubah sistem supaya negara mereka menjadi seperti Amerika.