Jumaat, 25 September 2009

Hipokrasi Barat terhadap Iran

Apabila diteliti apa yang dipaparkan oleh media Barat terhadap Iran, maka dapat disaksikan betapa hipokritnya mereka terhadap nilai-nilai yang diperjuangkannya dengan apa yang sebenarnya berlaku di negara-negara lain. Barat di sini merujuk kepada keseluruhan tamadun Amerika-Eropah di bawah pimpinan Washington. 

Mereka mengecam Iran kerana sistem pilihan rayanya dianggap tidak telus dan dimanipulasi ulama. Tetapi ketika Iran menjadi sekutu Amerika Syarikat di bawah Shah Reza Pahlavi yang tidak pernah mengadakan pilihan raya, Washington tidak mengkritik atau mendesak Teheran supaya mengamalkan demokrasi.

Apa yang dipedulikan Washington adalah sukap Iran yang menjadi sekutunya menentang Moscow, pembekal minyak kepadanya yang setia dan mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel. Akhirnya yang memperkenalkan suatu sistem demokrasi berpilihan raya ialah Ayatullah Khomeini sendiri yang secara bijak membolehkan penubuhan sebuah negara Islam menurut fahaman Syiah tetapi pada waktu sama mempunyai amalan demokrasi berpilihan raya.

Republik Islam Iran adalah sebuah eksperimen yang setakat ini boleh dianggap berjaya menghasilkan sebuah negara di mana hasil daripada Revolusi Islam, lahir sebuah perlembagaan dengan sistem pemerintahan yang merangkumi hak ulama ke atas kepimpinan di samping hak rakyat umum untuk menyertai dalam pentadbiran kerajaan.

Maka pada awal penubuhan Republikk Islam Iran, sememangnya terdapat fahaman keperluannya parti politik. Maka mereka yang mendokong republik ini menubuhkan Parti Republik Islam yang muncul bersama pelbagai parti politik lain. Antara pengasas parti ini ialah Mir Hoessein Mousavi yang menjadi calon bertanding dalam pilihan raya presiden baru-baru ini.

Tetapi kemudian, Khomeini mendapati bahawa sistem politik kepartian menimbulkan kesan-kesan negatif dari segi ia menimbulkan kumpulan-kumpulan yang boleh memecah-bekahgkan masyarakat. Maka Khomeini mengisytiharkan parti-parti politik tetapi kumpulan-kumpulan berotrganiasi dibenarkan bagi menyokong mana-mana calon dalam parti.

Dalam apa jua sistem pemerintahan, termasuk yang berbentuk demokrasi berpilihan raya, calon-calon yang bertanding adalah mereka yang mendokong perlembagaan dan bentuk negara masing-masing. Begitu juga di Amerika Syarikat. Andainya seseorang calon presiden menantang perlembagaan Amerika, adakah beliau dibenarkan bertanding? Tentunya tidak. Ini kerana mana-mana perlembagaan diolah sebegitu rupa supaya bentuk negara itu tidak dicabar.

Walau terhadap Amerika, pemerhati luar akan sedar bahawa hanya salah satu daripada dua calon, iaitu dari Parti Republikan dan Parti Demokratik akan menang, dengan kedua-duanya meletakkan Israel sebagai sekutu muktamad yang tidak boleh digugat pinda sebagai suatu sistem yang mengongkong tetapi tidaklah meuar-uarkan bahawa ia adalah pemerintahan yang tidak demokratik.

Sebaliknya, Amerika akan berusaha untuk memaksa nilai-nilai demokrasinya diterima pakai oleh negara-negara lain. Maksud Amerika di sini bukannya kerajaan semata-mata tetapi rakyat negara itu seara umumnya baik diungkapkan melalui media massa atau agensi-agensi pemikir.

Justeru, adalah tidak menghairankan betapa Mousavi mencabar Mahmoud Ahmedinejad, maka sokongan pihak Barat adalah jelas. Mereka menyokong Mousavi yang digambarkan begitu rupa seolah-olah beliau adalah seorang reformis dan pro-demokrasi, sementara Ahmedinejad adalah konservatif, radikal dan lebih pentingnya anti-Amerika.

Kebencian mereka terhadap Ahmedinejad adaalh jelas kerana pertamanya presiden Iran itu menafikan Holocaust, suatu yang pantang besar bagi pihak Barat. Sudah tentu golongan Yahudi dan pro-Yahudi berasa jijik terhadap Ahmedinejad yang berpegang kepada fahaman itu. Sikapnya yang dilihat sebagai anti-Israel dan anti-Amerika serta usahanya untuk membangunkan senjata nuklear dengan sendirinya Barat menentangnya. Maka cara terbaik ialah dengan memberi sokongan kepada Mousavi.

Tetapi di bawah penentangan mereka ke atas Ahmedinejad adalah harapan mereka supaya Republik Islam Iran tumbang untuk digantikan dengan sistem politik demokrasi ala Barat di mana tentunya tidak ada ulama untuk memandu negara itu, tetapi lebih daripada itu ialah Iran hendak dijadikan sekutu Washington yang berbaik dengan Israel.

Sedangkan apa yang berlaku di Iran ialah pemilihan personaliti yang mempunyai pendekatan berbeza terhadap pentadbiran tetapi tidaklah sampai kepada mengubah Republik Islam Iran itu sendiri. Mousavi sendiri anti-Amerika, anti-Israel dan menyokong pembangunan tenaga dan senjata nuklear.

Maka jika dilihat daripada liputan media Barat terhadap Amerika, dapatlah disaksikan bahawa pandangan mereka berfokus kepada kepentingan dan sudut budaya sendiri tanopa menghormati fahaman dan cara fikir orang lain. Inilah yang menjadikan mereka hipokrit. Semua pihak wajar ingat bahawa dunia ini adalah milik semua makhluk yang menghuninya. Di peringkat manusia, bumi adalah milik semua manusia yang mempunyai keragaman kepercayaan, cara hidup, dan harapan.

Sememangnya Amerika berada pada kedudukan dominan dalam dunia dengan Barack Obama dipaparkan bukan saja sebagai presiden Amerika tetapi pemimpin bagi dunia. Tetapi dari segi perundangan dan perlembagaan, beliau hanyalah salah satu daripada beratus-ratus pemimpin dunia yang bertannggubjawab meimpin dan melindungi rakyatnya. Kepimpinannya terhadap dunia adalah bersama dengan pemimpin-pemimpin lain, iaitu dengan taraf saksama. 

Obama adalah setaraf dengan Ahmedinejad. Walaupun sistem demokrasi berpilihan raya kedua-dua negara itu berbeza, tetapi mereka merupakan penzahiran kepada kehendak rakyat di negara masing-masing. Pertentangan Mosavi dengan Ahmedinejad adalah masalah dalam negara, walaupun menarik minat para pemerhati, tetapi ia wajar dilihat dari segi masalah yang berkembang dalam negara itu. Tidak timbul bahawa rakyat Iran hendak mengubah sistem supaya negara mereka menjadi seperti Amerika.

Tiada ulasan: